Bertindak atas keperluan semasa, KTM Komuter mengambil inisiatif memperkenalkan koc wanita yang pertama di negara ini yang memulakan operasi untuk laluan Sentul - Pelabuhan Klang, sepanjang hari bermula 27 April 2010. Perlaksanaan Koc Wanita ini berpandukan statistik yang menunjukkan 60% pengguna perkhidmatan komuter adalah terdiri daripada kaum wanita. Demikian petikan dari laman web rasmi Keretapi Tanah Melayu Berhad KTMB yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Korporat, KTMB. Menggunakan tema ‘wanita sahaja sepanjang masa’ atau ‘Ladies Only At All Times’ koc wanita ini berada di gerabak yang tengah dan dibezakan dengan pelekat khas koc wanita yang berwarna merah jambu (pink). Menurut sumber itu lagi para pelanggan akan dapat mengenali koc ini melalui pelekat khas yang dipamerkan di tingkap, pintu dan di dalam koc. Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian Koc Wanita ini melalui kain rentang yang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan dengan warna merah jambu.
Secara ringkasnya kedudukan Koc Wanita bagi setiap tren Komuter yang mempunyai tiga (3) koc (gerabak) adalah seperti berikut:
1.Koc Hadapan - Koc Biasa (lelaki dan wanita)
2. Koc Tengah - Koc Wanita (wanita sahaja)
3. Koc Belakang - Koc Biasa (lelaki dan wanita).
Konklusinya, pengenalan koc wanita secara tidak langsung mengurangkan kadar gangguan seksual kaum lelaki terhadap kaum perempuan di kereta api. Dengan ini, kaum hawa berasa lebih selamat untuk menaiki kereta api.


No comments:
Post a Comment